Kuantan: Sayang membabi buta hingga memakan diri. Itu yang terpaksa ditanggung seorang isteri muda apabila menjadi hamba dadah kerana terikut-ikut tabiat suaminya.
Noni, 21, berkata, kerana sayang dan cintakan arwah suami, dia sanggup lakukan apa saja termasuk turut sama menagih dadah jenis syabu pada usia 15 tahun.
“Saya dan arwah suami sama-sama terbabit dengan aktiviti menagih dadah di rumah, kehidupan kami sebagai pasangan suami isteri menjadi lebih bahagia dan begitu setia apabila kami khayal dibuai pengaruh bahan terlarang itu,” katanya yang kini menjalani Perintah Kehadiran Wajib (PKW) Jabatan Penjara Malaysia.
Dia yang menjadi isteri ketika masih remaja kini mempunyai seorang cahaya mata berusia enam tahun berkata, rakan lain yang turut terbabit dengan dadah jenis syabu itu turut mempengaruhinya mencuba walaupun pada peringkat awal perasaan takut begitu menebal bagi dirinya.
Katanya, setiap hari arwah suami menghabiskan RM100 untuk membeli dadah dan sebagai isteri yang manja dia hanya menumpang saja sambil melayan suami yang begitu penyayang dan bertanggungjawab. -Hmetro