Tanah Merah : Seorang ibu bersama dua anaknya maut selepas kereta dinaiki terbabas dan terhumban ke dalam sungai dalam kejadian di Sungai Rotan Tawar, Panglima Bayu di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari itu, mangsa Norsuzilawati Husin, 39, menaiki kereta jenis Proton Iswara Aeroback dari Tanah Merah ke Jeli bersama dua anaknya, Irfan Azmi Qayyum 12, dan Iqbal Hariz Putra Ubaidullah, 5.
Ketua Polis Daerah Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata kereta dinaiki mangsa tiba-tiba terbabas ke kiri jalan sebelum terjunam ke dalam sungai. Katanya, kejadian menyebabkan ketiga-tiga mangsa lemas.
"Mangsa bersama anaknya berusia lima tahun meninggal dunia di Klinik Kesihatan Batu Gajah manakala seorang lagi anaknya di Hospital Tanah Merah," katanya. [ Harian Metro ]